KUCHING: Kerajaan Sarawak akan memperuntukkan RM1 bilion sebagai langkah awal membangunkan kawasan tanaman padi mengikut zon di negeri ini, kata Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg.
Beliau berkata, peruntukan besar itu perlu disediakan memandangkan kos membina sistem perparitan dan taliair membangunkan kawasan tanaman padi sangat mahal.
“Zon-zon yang dikenal pasti ialah di Banting (Sri Aman), Gedong, Lundu, Betong dan Baram untuk padi bukit,” katanya semasa merasmikan Sarawak Agrofest 2023 di Dataran Perayaan, Jalan Stadium di sini.
Hadir sama, Timbalan Perdana Menteri, Dato’ Sri Fadillah Yusof, Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Douglas Uggah, Menteri Industri Makanan, Komoditi dan Pembangunan Wilayah, Dato Sri Dr Stephen Rundi Utom dan menteri kabinet lain
Abang Johari menegaskan, kawasan terbabit adalah sebahagian daripada 50,000 hektar tanah dibangunkan oleh tanaman padi di Sarawak dan Sabah seperti diumumkan oleh Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi ketika berada di negeri ini, baru-baru ini.
Buat masa ini, tambahnya, Sarawak memiliki kawasan seluas 18,000 hektar tanaman padi dan berharap dengan pembangunan kawasan baharu yang dicadangkan itu akan menambah keluasan tanaman padi di negeri ini.
Premier Sarawak juga berkata, negeri ini turut menghasilkan jenis benih padi mengeluar hasil yang tinggi dan dalam 18 bulan mempunyai tiga kali pusingan tanaman.
“Secara amnya, kita perlu menggunakan pendekatan baharu untuk memodenkan sektor pertanian di negeri ini dan atas sebab itu, kerajaan mengambil pendekatan membangunkan infrastruktur seperti jalan raya, menyediakan bekalan elektrik dan air demi kemajuan sektor pertanian,” tegas beliau.
Menurut Abang Johari lagi, apabila jalan raya pesisir serta jambatan, jalan raya utama kedua dan Leburaya Pan Borneo siap, logistik untuk sektor pertanian akan lebih mudah dan kawasan tanah untuk dibangunkan juga lebih luas.
Dalam hal ini, beliau menggesa sektor swasta dan awam termasuk peladang hendaklah bekerjasama dalam membangunkan sektor pertanian sekali gus menjamin bekalan makanan.
“Inilah hasrat Kerajaan Gabungan Parti Sarawak (GPS) untuk meningkatkan pendapatan dan sosioekonomi penduduk luar bandar,” katanya.
Sumber dari : Jiwa Bakti